PFS School

Penang Free School mahu tukar legasi 210 tahun kepada sekolah masa depan

GEORGE TOWN – Selepas 210 tahun membina legasi pendidikan, Penang Free School kini mahu memastikan sejarah panjang institusi itu tidak sekadar dikenang, sebaliknya diterjemahkan kepada persediaan menghadapi dunia pendidikan dan pekerjaan yang semakin dipacu teknologi.

Bagi merealisasikan hasrat itu, sekolah aliran Inggeris tertua di Asia Tenggara berkenaan menggerakkan Dana Transformasi Digital Penang Free School, dengan sasaran menyediakan 33 unit Smartboard di seluruh sekolah selain memperluas pendedahan pelajar kepada kecerdasan buatan (AI), robotik, pengekodan dan bidang STEM.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sambutan Ulang Tahun ke-210 PFS, Ivan Ooi Jieun Vei berkata, sambutan tiga hari bermula hari ini bukan sekadar meraikan sejarah sekolah, tetapi menjadi platform untuk menggerakkan alumni, industri dan komuniti menyumbang kepada masa depan institusi itu.

“Ini bukan sekadar sambutan 210 tahun sejarah. Ia merupakan seruan kepada seluruh warga Penang Free School untuk bersama-sama tampil dan melabur dalam masa depan sekolah.

“Kami mahu memanfaatkan kekuatan alumni, pendidik, industri dan komuniti bagi memastikan para pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu berkembang sebagai golongan profesional, inovator dan pemimpin masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga 28 September lalu, sebanyak 13 unit Smartboard Hisense berukuran 75 inci sudah diperoleh menerusi Inisiatif Transformasi Digital PFS, daripada sasaran keseluruhan 33 unit.

Menurut Ivan, perkembangan itu menunjukkan sokongan alumni dan komuniti boleh diterjemahkan kepada perubahan yang dapat dilihat secara langsung dalam persekitaran pembelajaran.

Katanya, perubahan teknologi telah mengubah landskap pendidikan serta membuka bidang disiplin, industri dan laluan kerjaya baharu yang tidak wujud atau belum berkembang ketika generasi terdahulu bersekolah.

“Kecerdasan buatan, sains data, robotik dan teknologi digital telah membuka satu ruang peluang baharu yang luas.

“Tanggungjawab kita adalah memastikan para pelajar PFS bersedia mengharungi ruang tersebut dengan keyakinan, keupayaan dan jati diri,” ujarnya.

Dana berkenaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan guru, pengukuhan infrastruktur digital serta peluasan pendedahan pelajar kepada STEM, AI, robotik, pengekodan dan teknologi digital baharu.

Pada masa sama, PFS mahu memperkukuh hubungan dengan pihak industri bagi membuka lebih banyak peluang pertukaran ilmu, pendedahan serta pembangunan bakat untuk pelajar.

Usaha itu juga dilihat sebagai sebahagian daripada persediaan membangunkan bakat yang diperlukan oleh industri Pulau Pinang pada masa depan.

Ivan menegaskan dana berkenaan bukan bertujuan menggantikan pembiayaan kerajaan, sebaliknya melengkapkan usaha sedia ada dan mempercepat proses transformasi sekolah.

“Pembiayaan kerajaan memastikan sekolah terus beroperasi, manakala Dana Transformasi Digital mempercepatkan proses transformasinya.

“Kami bukan mengumpul dana semata-mata untuk mendapatkan teknologi. Kami melabur dalam keupayaan, peluang dan akhirnya dalam pembangunan bakat yang akan menjadi sandaran ekonomi masa depan Pulau Pinang,” katanya.

Sambutan ulang tahun ke-210 PFS yang berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober itu, ia menghimpunkan Old Frees, pelajar, pendidik, rakan industri dan komuniti menerusi pelbagai program.

Antaranya Hari Ucapan ke-210 yang berlangsung hari ini, manakala program Free School Reunites pada 3 Oktober akan menghimpunkan bekas pelajar serta guru dan kakitangan dahulu dan kini menerusi aktiviti sukan dan kemasyarakatan.

Program itu turut menampilkan lawatan berpandu ke kawasan bersejarah sekolah dan pertandingan pickleball.

Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-210 pada malam 3 Oktober pula bakal menampilkan persembahan khas Ratu Rock Malaysia, Ella, selain persembahan bakat pelajar PFS.

Dengan 13 daripada 33 Smartboard sudah diperoleh, usaha mendapatkan baki peralatan itu kini diteruskan dengan sasaran mendapatkan sokongan daripada Old Frees, persatuan alumni, ibu bapa, syarikat serta rakan industri.

“Dua ratus sepuluh tahun merupakan satu legasi yang luar biasa. Tugas kita sekarang adalah memastikan legasi ini terus relevan untuk generasi akan datang.

“Cara terbaik untuk menghargai masa lalu adalah dengan melengkapkan generasi seterusnya untuk membentuk masa depan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Credit : Malaysia Gazette