Penang Free School sambut ulang tahun ke-210, gerak sokongan Dana Transformasi Digital
KUALA LUMPUR: Penang Free School (PFS) akan menyambut ulang tahun ke-210, meraikan lebih dua abad legasi pendidikan bersama generasi Old Frees, pelajar, pendidik, rakan industri serta anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan, bermula semalam sehingga esok.
Sambutan berteraskan semangat ‘Fortis Atque Fidelis – Strong and Faithful’ akan menjadi wadah untuk menggerakkan sokongan terhadap Dana Transformasi Digital Penang Free School, inisiatif strategik yang dirangka bagi mempercepat kesiapsiagaan sekolah dalam menghadapi landskap pendidikan, teknologi dan ekonomi yang berkembang pesat.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Ivan Ooi Jieun Vei, berkata keputusan mengadakan sambutan ulang tahun ke-210 mencerminkan kepentingan mempersiapkan PFS dan pelajarnya untuk masa depan.
“Ini bukan sekadar sambutan 210 tahun sejarah. Ia adalah seruan kepada seluruh warga Penang Free School untuk bersama-sama tampil dan melabur dalam masa depan sekolah.
“Kami mahu memanfaatkan kekuatan alumni, pendidik, industri dan komuniti bagi memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu berkembang sebagai golongan profesional, inovator dan pemimpin masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ivan Ooi berkata, Dana Transformasi Digital akan menjadi platform untuk menterjemahkan aspirasi strategik Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2026-2035 dan Penang STEM Talent Blueprint kepada inisiatif yang dapat dilaksanakan di peringkat sekolah.
“Antara bidang keutamaan ialah memperkukuh infrastruktur digital, meningkatkan keupayaan pendidik serta memperluas pendedahan pelajar kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kecerdasan buatan (AI), robotik, pengekodan dan teknologi digital baharu.
“Inisiatif itu juga berusaha membentuk kerjasama lebih kukuh antara PFS dan pihak industri, sekali gus mewujudkan peluang pertukaran ilmu, pendedahan serta pembangunan bakat, di samping menyumbang kepada pembentukan tenaga kerja masa depan Pulau Pinang.
“Ia juga sudah menunjukkan hasil yang nyata. Sehingga 28 September, sebanyak 13 unit Smartboard Hisense bersaiz 75 inci dibeli menerusi Inisiatif Transformasi Digital PFS untuk kegunaan sekolah,” katanya.
Katanya, ekosistem pendidikan sudah berubah secara asas, dengan kemajuan teknologi mewujudkan disiplin, industri dan laluan kerjaya baharu yang hampir tidak dapat dibayangkan oleh generasi terdahulu.
“Kecerdasan buatan, sains data, robotik dan teknologi digital telah membuka satu ruang peluang baharu yang luas. Tanggungjawab kita adalah memastikan pelajar PFS bersedia mengharungi ruang itu dengan keyakinan, keupayaan dan jati diri,” katanya.
Credit : Berita Harian
