DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Raikan Majlis Ulang Tahun Penang Free School
Kuala Lumpur – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menghadiri majlis Old Frees Association Kuala Lumpur & Selangor Anniversary Dinner (OFAKLS) 2025 bersempena dengan ulang tahun Penang Free School (PFS) ke-209 serta penubuhan persatuan tersebut yang Ke-66, di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.
Keberangkatan baginda bersama-sama Raja Puan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid disambut oleh Presiden OFAKLS, Ivan Ooi Jieun Vei.
Penang Free School mempunyai hubungan istimewa dengan institusi Diraja Perlis apabila tiga generasi Diraja Jamalullail pernah menuntut di sekolah berkenaan, iaitu DYMM Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Manakala, waris yang kedua negeri Perlis iaitu, DYAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail juga pernah mengikuti program pertukaran pelajar di sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara itu.
Dalam ucapan aluan, Presiden OFAKLS, Ivan Ooi berkata bahawa majlis tersebut bukan sahaja meraikan ulang tahun sekolah dan persatuan, malah menjadi simbolik penghargaan terhadap warisan bersama, pencapaian bekas pelajar serta ikatan silaturrahim yang erat dan menghubungkan generasi Old Frees dengan Penang Free School.
Selain itu, pelbagai pengisian program diadakan iaitu, persembahan istimewa yang menampilkan penyanyi tersohor,Datuk Jamal Abdillah, selain persembahan muzik oleh Pancaragam Penang Free School yang membuat penampilan julung kali pada acara tersebut.
Keunikan majlis turut terserlah menerusi penyajian hidangan kurma daging Perlis yang membawa sentuhan warisan kulinari negeri tersebut.
Mengakhiri majlis, turut berlangsung pelancaran Kiraan Detik Sambutan Ulang Tahun Ke-210 Penang Free School oleh DYYM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai tanda bermulanya persiapan menuju detik bersejarah sekolah tersohor itu.
Majlis berprestij itu turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek serta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad serta barisan dif-dif jemputan.
Credit : Dewan Masyarakat
