Raja Perlis Berangkat Hadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun Penang Free School Ke-209
KUALA LUMPUR, 15 Disember 2025 – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Old Frees Association Kuala Lumpur & Selangor Anniversary Dinner 2025 sempena ulang tahun ke-209 Penang Free School (PFS) serta ulang tahun ke-66 persatuan tersebut, yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, malam tadi.
Keberangkatan Baginda disertai Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, dan disambut oleh Presiden Old Frees Association Kuala Lumpur dan Selangor (OFAKLS), Ivan Ooi Jieun Vei.
Majlis turut dihadiri Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd Azam Ahmad, serta dif-dif jemputan termasuk wakil persatuan alumni sekolah-sekolah ternama dari seluruh negara.
Penang Free School mempunyai hubungan sejarah yang signifikan dengan institusi Diraja Perlis, apabila tiga generasi keluarga Diraja Jamalullail pernah menuntut di sekolah tersebut, iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, serta Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Selain itu, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, turut pernah menyertai program pertukaran pelajar di sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara itu.
Dalam ucapan alu-aluan, Ivan Ooi menyatakan bahawa majlis berkenaan bukan sahaja meraikan sejarah dan pencapaian Penang Free School, malah memperkukuh ikatan silaturahim antara generasi bekas pelajar atau Old Frees yang terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Majlis makan malam tersebut diserikan dengan persembahan istimewa oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Jamal Abdillah, selain persembahan muzik oleh Pasukan Pancaragam Penang Free School, yang membuat penampilan sulung dalam acara tersebut.
Turut mencuri perhatian para tetamu ialah penyajian Kurma Daging Perlis, yang membawa sentuhan istimewa warisan masakan negeri Perlis ke dalam sambutan berprestij itu.
Majlis diakhiri dengan Pelancaran Kiraan Detik Sambutan Ulang Tahun Ke-210 Penang Free School, yang disempurnakan oleh Tuanku Raja Perlis, sekali gus menandakan bermulanya persiapan menuju satu lagi detik bersejarah institusi pendidikan berkenaan.
