Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menghadiri majlis ‘Old Frees Association Kuala Lumpur & Selangor Anniversary Dinner 2025’ bersempena ulang tahun Penang Free School ke-209 dan persatuan ke-66 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.
Keberangkatan Baginda bersama-sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid disambut oleh Presiden Old Frees Association Kuala Lumpur dan Selangor (OFAKLS), Ivan Ooi Jieun Vei.
Majlis tersebut juga dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd Azam Ahmad dan dif-dif jemputan dari persatuan alumni sekolah lain.
TIGA GENERASI DIRAJA
Tiga generasi Diraja Jamalullail Perlis pernah bersekolah di Penang Free School (PFS) iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail juga pernah menjalani program pertukaran pelajar di sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara yang tersohor itu.
Dalam ucapan alu-aluan Ivan Ooi, beliau memaklumkan bahawa majlis ini merupakan satu sambutan terhadap warisan bersama, pencapaian bekas pelajar dan sekolah serta ikatan silaturahim yang terus menghubungkan generasi-generasi bekas pelajar (Old Frees) dengan PFS.
Menambahkan lagi kemeriahan malam tersebut ialah persembahan istimewa oleh penyanyi terkemuka Malaysia, Datuk Jamal Abdillah dan persembahan muzik oleh pasukan Pancaragam PFS buat julung kalinya.
HIDANGAN KURMA DAGING
Sorotan unik majlis ini ialah penyampaian hidangan Kurma Daging Perlis, yang menyuntik sentuhan budaya masakan Perlis dalam sambutan tersebut.
Majlis makan malam tersebut diakhiri dengan Pelancaran Kiraan Detik Sambutan Ulang Tahun Ke-210 Penang Free School, yang menandakan bermulanya persiapan bagi detik bersejarah ini oleh Tuanku Raja Perlis. – JM